Tuesday, September 29, 2009

TEKS UCAPAN MAJLIS PERLETAKAN BATU ASAS PALOH 2

TEKS UCAPAN

YABrs. KETUA JAJAHAN GUA MUSANG

MAJLIS PERLETAKAN BATU ASAS PALOH 2

ASSALAMUALAIKUM W.R.T WABARAKATUH

SETINGGI-TINGGI KESYUKURAN DAN PUJIAN KE HADRAT ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA DI ATAS ANUGERAH TAUFIQ HIDAYAH KEPADA KITA SEKELIAN. SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN TERTINGGI NABI MUHAMMAD S.A.W. SEKELIAN PARA SAHABAT, PARA TABI’IN DAN MEREKA YANG MENGIKUTI JEJAK LANGKAH BAGINDA HINGGA KE HARI QIAMAT.

MENGADAP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU ISMAIL PETRA IBNI ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN DARULNAIM.

DULI YANG MAHA MULIA TENGKU ANIS BINTI AL-MARHUM TENGKU ABDUL HAMID, RAJA PEREMPUAN KELANTAN.

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN

PATIK DENGAN PENUH HORMAT TAKZIM, MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI JUNJUNGAN KASIH KEPADA KE BAWAH DULI-DULI TUANKU DI ATAS AMPUNI PERKENAN, BERANGKAT MENCEMAR DULI KE MAJLIS INI SERTA MENYEMPURNAKAN MAJLIS PERLETAKAN BATU ASAS MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-SULTAN KELANTAN YANG KE 58 TAHUN.

SESUNGGUHNYA KEBERANGKATAN KE BAWAH DULI-DULI TUANKU DI MAJLIS YANG BEGITU SUCI INI MERUPAKAN MANIFESTASI KEPRIHATINAN YANG MURNI KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-SULTAN TERHADAP PERKEMBANGAN AGAMA ISLAM DI NEGERI INI SELAKU KETUA AGAMA ISLAM NEGERI INI.

AMPUN TUANKU,

PADA HARI INI SELURUH HAMBA RAKYAT DI JAJAHAN INI AMAT BERBANGGA KERANA DAPAT BERSAMA-SAMA BERKUMPUL DI MAJLIS YANG PENUH KEBERKATAN INI UNTUK MENYAKSIKAN PENYEMPURNAAN PERLETAKAN BATU ASAS MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG OLEH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AL-SULTAN. DETIK INI SESUNGGUHNYA AMAT DINANTIKAN OLEH SELURUH UMAT ISLAM KHUSUSNYA DI JAJAHAN GUA MUSANG KERANA INI ADALAH KESINAMBUNGAN KEPADA WARISAN ISLAM DENGAN CADANGAN PEMBINAAN SEBUAH INSTITUSI AGUNG LAGI SUCI BAGI UMAT ISLAM KHASNYA.

FIRMAN ALLAH S.W.T. DALAM SURAH AL-JINN AYAT 18:

BERMAKSUD:

“DAN SESUNGGUHNYA MASJID-MASJID ITU ADALAH KEPUNYAAN ALLAH. MAKA JANGANLAH KAMU MENYEMBAH YANG LAIN BERSAMA-SAMANYA”.

FIRMAN SUCI INI SECARA JELAS MERUPAKAN PENGIKTIRAFAN TERTINGGI OLEH ALLAH S.W.T. TERHADAP INSTITUSI MASJID SEBAGAI RUMAH ALLAH YANG MAHA AGUNG. SELAIN FUNGSI ASASNYA SEBAGAI TEMPAT IBADAH, IA JUGA PEMBINA DAN PEMBENTUK TAQWA UMAT ISLAM.

OLEH YANG DEMIKIAN USAHA MURNI YANG DIIRINGI NIAT SUCI PENUH BIJAKSANA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU KE ARAH PEMBINAAN MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG INI MERUPAKAN SATU USAHA YANG DIJAMIN KEBERKATAN OLEH ALLAH S.W.T. SEBAGAIMANA HADIS RASULLULAH S.A.W. YANG DIRIWAYATKAN OLEH SAYYIDINA UTHMAN IBN AFFAN YANG BERMAKSUD:

“BARANGSIAPA YANG MEMBINA MASJID SEMATA-MATA KERANA ALLAH, ALLAH AKAN MENDIRIKAN UNTUKNYA SEPERTI YANG DIDIRIKAN OLEH DI SYURGA”.

AMPUN TUANKU,

SEJARAH SEJAK SEKIAN LAMA TELAH MERAKAMKAN PERANAN MASJID KEPADA PEMBANGUNAN UMMAH SEMENJAK TERBINANYA MASJID PERTAMA DALAM PERADABAN UMAT MANUSIA IAITU KAABAH DI MEKAH YANG TELAH MENYAKSIKAN KELAHIRAN RASULULULLAH S.A.W. DAN JUGA MASJID KEDUA IAITU MASJIDUL AQSA DI PALESTIN YANG MELENGKAPKAN PENYAKSIAN MUKJIZAT KERASULAN BAGINDA.

MENGAMBIL IKTIBAR YANG SEDEMIKIAN, PEMILIHAN TAPAK MASJID KEPUTERAAN SELUAS 3 EKAR INI MERUPAKAN SATU PERANCANGAN TELITI YANG DIBUAT DENGAN MENGAMBILKIRA KEDUDUKANNYA YANG STRATEGIK DI LALUAN UTARA TIMUR – SELATAN SERTA POTENSI PEMBANGUNAN PERSEKITARAN DENGAN KAWASAN PERTUMBUHAN YANG MELIPUTI PERUMAHAN, KOMERSIAL SERTA PENTADBIRAN SELUAS 400 EKAR YANG AKAN DIMAJUKAN OLEH PIHAK KESEDAR TIDAK LAMA LAGI. OLEH YANG DEMIKIAN FOCAL POINT YANG AKAN DITERAJUI OLEH MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG INI AKAN MELIMPAHKAN KEMAKMURAN DAN KEBERKATAN KEPADA MASYARAKAT SERTA RAKYAT JELATA DI JAJAHAN GUA MUSANG INI DISAMPING MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN NEGERI INI SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN ISLAM YANG TERSOHOR SEHINGGA DIKENALI SEBAGAI “NEGERI SERAMBI MEKAH”.

PATIK BESERTA RAKYAT JELATA DI JAJAHAN INI JUGA YAKIN DAN PERCAYA BERKAT LIMPAH KEDAULATAN SERTA KEBIJAKSANAAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU, MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG INI AKAN BERJAYA KEMBALI BERPERANAN SEBAGAI PUSAT SUMBER ILMU DAN BIMBINGAN KEPADA MASYARAKAT SETEMPAT BAIK DALAM BIDANG PEMBANGUAN ROHANINYA MAHUPUN DALAM BIDANG PEMBANGUNAN EKONOMI, PENDIDIKAN DAN KEMASYARAKATAN.

AMPUN TUANKU,

FIRMAN ALLAH S.W.T. DALAM SURAH AT-TAUBAH AYAT 18:

BERMAKSUD:

“SESUNGGUHNYA YANG MEMAKMURKAN MASJID ALLAH IALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT, MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN MENUNAIKAN ZAKAT SERTA TIDAK TAKUT KECUALI KEPADA ALLAH. MEREKALAH ORANG-ORANG YANG DIHARAP MENDAPAT PETUNJUK”

FIRMAN SUCI ALLAH INI MENJELASKAN BETAPA MEMAKMURKAN ATAU MENGIMARAHKAN MASJID MERUPAKAN KESINAMBUNGAN KEPADA ASAS PEMBINAAN SESUATU MASJID YANG DIDIRIKAN BAGI TUJUAN KETAQWAAN DAN IBADAH.

PATIK SERTA PACAL RAKYAT JELATA SEKELIAN YAKIN DENGAN KESUNGGUHAN YANG DITUNJUKKAN OLEH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SELAKU PENAUNG AGAMA ISLAM DI NEGERI INI SERTA PERANCANGAN YANG TERATUR DAN BERKESAN OLEH PIHAK MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT NEGERI KELANTAN SERTA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT AKAN BERUPAYA MEMAKMURKAN MASJID-MASJID DI NEGERI INI BERDASARKAN KECENDERUNGAN SEMASA MASYARAKAT KINI YANG BEGITU DAHAGAKAN PENGISIAN ROHANI DISAMPING MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH S.W.T.

SISTEM PENGURUSAN MASJID YANG DIPERKEMASKAN DARI MASA KE SEMASA JUGA TELAH BANYAK MENARIK MINAT MASYARAKAT ISLAM UNTUK MENDEKATI MASJID. DENGAN JADUAL AKTIVITI YANG TERSUSUN SERTA PENGGUNAAN ALAT-ALAT KOMUNIKASI YANG CANGGIH SELARAS DENGAN PERKEMBANGAN TEKNOLOGI MASAKINI JUGA MAMPU MEMBERI KESAN YANG POSITIF KE ARAH MINAT GOLONGAN MUSA UNTUK TURUT SAMA MENGIMARAHKAN INSTITUSI MASJID.

DARI ASPEK PERPADUAN PULA, SEJARAH AWAL ISLAM MEMPERLIHATKAN BAHAWA RASULULLAH S.A.W. TELAH BERJAYA MEMBINA KEKUATAN PERPADUAN UMMAH MELALUI INSTITUSI MASJID MEMANDANGKAN KEKUATAN SESUATU UMMAH TERKANDUNG DI DALAM DUA PENGERTIAN “TAUHIDULLAH” (MENGESAKAN ALLAH) DAN “TAUHIDUL UMMAH” (MENYATUPADUKAN UMMAH). KEDUA-DUA FUNGSI INI PERLU BERFUNGSI SECARA SEIMBANG DALAM MEMBINA UMAT YANG KUAT DAN MAMPU MENINGGIKAN SYIAR ISLAM DI MUKA BUMI INI.

AMPUN TUANKU,

PATIK BESERTA PACAL RAKYAT JAJAHAN GUA MUSANG MENJUNJUNG KASIH DAN MENZAHIRKAN KEBANGGAAN YANG TIDAK TERHINGGA PADA PAGI YANG PERMAI INI DI ATAS LIMPAH PERKENAN TUANKU MENCEMAR DULI MERASMIKAN PERLETAKAN BATU ASAS MASJID KEPUTERAAN JAJAHAN GUA MUSANG.

SESUNGGUHNYA KEPRIHATINAN KE BAWAH DULI TUANKU SENTIASA DIJULANG TINGGI DENGAN PENUH KEBESARAN, KEMULIAAN DAN KEHORMATAN DI BAWAH SINGGAHSANA PAYUNG UMMAH PEMBELA RAKYAT.

BUDI LUHUR SEPANJANG HAYAT

TUTUR BAHASA PENUH BERMAKNA

KEDAULATAN RAJA KEAMANAN RAKYAT

PAYUNG NEGERI PENUH BIJAKSANA

AMPUN TUANKU,

PATIK MEWAKILI PACAL-PACAL AHLI JAWATANKUASA INDUK SAMBUTAN ULANGTAHUN KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-SULTAN PERINGKAT JAJAHAN GUA MUSANG MEMOHON AMPUNI PERKENAN TUANKU UNTUK MERAKAMKAN SETINGGI-TINGGI TERIMA KASIH KEPADA :-

1. YAB TUAN GURU DATO’ MENTERI BESAR DAN DATIN,

2. YB PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN ISLAM DAN DAKWAH DAN ISTERI,

3. YB DATO’ SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI DAN DATIN,

4. YB DATO’ PEGAWAI KEWANGAN NEGERI

5. YB DATO’ PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI DAN DATIN,

6. AHLI-AHLI MESYUARAT KERAJAAN

7. YABHG DATO’ PENGELOLA ISTANA D’RAJA DAN DATIN,

8. YBHG DATO’ YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT NEGERI KELANTAN DAN DATIN,

9. AHLI-AHLI YANG BERHORMAT, DATO’ DATO’, TENGKU-TENGKU, DIF-DIF JEMPUTAN DAN PARA HADIRIN SEKELIAN.

PATIK JUGA INGIN MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH TERUTAMA KEPADA PIHAK MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN YANG TELAH BERTUNGKUS LUMUS UNTUK MENJAYAKAN MAJLIS INI.

TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA JUGA KEPADA SEMUA JABATAN, AGENSI-AGENSI KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN, BADAN-BADAN BERKANUN DAN SEMUA PIHAK DAN INDIVIDU YANG TELAH MEMBERI SUMBANGAN DALAM PELBAGAI BENTUK SEHINGGA MAJLIS INI BERJAYA SEPERTIMANA YANG KITA ADAKAN PADA HARI INI.

DIIRIK HANYA PADI

DIPINANG SI GADIS DESA

DIINGAT HANYA BUDI

DIKENANG HANYA JASA

MARILAH KITA BERDOA KE HADRAT ALLAH S.W.T. AGAR SEGALA USAHA YANG KITA LAKUKAN INI MENDAPAT KERAHMATAN DAN BARAKAH SEPANJANG MASA. MUDAH – MUDAHAN KITA DIKURNIAKAN KEKUATAN UNTUK TERUS BERBAKTI KEPADA UGAMA BANGSA DAN NEGARA.

PATIK JUGA INGIN MEMOHON AMPUN DAN MAAF DI ATAS SEGALA KEKURANGAN DAN KELEMAHAN DALAM PATIK MENGENDALIKAN MAJLIS PADA HARI INI.

PATIK SEKALI LAGI BERDATANG SEMBAH, MENJUNJUNG KASIH YANG TIDAK TERHINGGA, SEBULAT HATI, SETULUS BUDI MENYATAKAN TAAT SETIA TANPA BERBELAH BAHAGI TERHADAP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AL-SULTAN DAN DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN KELANTAN.

AMPUN TUANKU,

PATIK POHON LIMPAH AMPUNI PERKENAN KE BAWAH DULI TUANKU AL-SULTAN DAN DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN UNTUK MENGAKHIRI PERSEMBAHAN UCAPAN PATIK INI DENGAN IRINGAN DOA, BARANG KIRANYA DILANJUTKAN USIA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AL-SULTAN, DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN, YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA, YANG TERAMAT MULIA TENGKU AMPUAN MAHKOTA, YANG AMAT MULIA TENGKU BENDAHARA, YANG AMAT MULIA TENGKU TEMENGGONG DAN YANG AMAT MULIA TENGKU AMALIN A’ISHAH PUTRI SERTA USRAH D’RAJA SEKELIAN DENGAN PENUH DAULAT DAN KEBESARAN, RAHMAT DAN KEBERKATAN SERTA SENTIASA BERADA DALAM KANDUNGAN SIHAT WAL’AFIAT, KEKAL QARAR MEMERINTAH NEGERI KELANTAN DARULNAIM DENGAN AMAN SEJAHTERA SERTA MENDAPAT LINDUNGAN DAN KEREDHAAN ALLAH SUBHANAHU WATAALA SEPANJANG MASA.

WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH

WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI

WABARAKATUH

SEKIAN, JUNJUNG KASIH

AMPUN TUANKU !

*RAJA TONGGAK KEAMANAN RAKYAT*

No comments:

Post a Comment

Post a Comment